Media Prima Membeli Baki Pegangan Pada The Vocket

November 13, 2025
Lain-Lain

Aman

Media Prima, melalui anak syarikat mereka, REV Media Group telah sedia melakukan pembelian pegangan sebanyak 52% pada The Vocket dengan nilai sebanyak RM2.6 juta, pada Julai 2019 yang lepas. Kini, selang sekitar 6 tahun, mereka turut mengumumkan pembelian baki pegangan pada syarikat berkenaan, iaitu sebanyak 48%, sekaligus mendapatkan pegangan penuh pada syarikat media digital berkenaan.

The Vocket sedia menerbitkan pelbagai kandungan memfokuskan gaya hidup, dalam bahasa Melayu.Ia dikatakan mempunyai 1.4 juta pembaca, selain 758,000 pengikut rentas pelbagai platform sosial. Dengan pengambil-alihan penuh ini, ia memberi ruangan kepada Media Prima dalam terus memperkembangkan jenama berkenaan, dan mengintegasikan ia lebih menyeluruh rentas pelbagai jenama lain dibawah anak syarikat sama. The Vocket telah menjana pendapatan sebanyak RM755k untuk tahun berakhir Jun 2024.

Pengambil-alihan penuh ini hadir selepas beberapa bulan pengasas dan CEO The Vocket, Fazreen Jasni meninggalkan syarikat tersebut.

REV Media, anak syarikat Media Prima kini menguruskan sekitar 30 jenama digital dibawah mereka, yang mempunyai penawaran pelbagai bahasa berbeza. Pengambil-alihan penuh The Vocket ini juga mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam arena media berbahasa Malaysia. Harga pengambil-alihan baki pegangan pada The Vocket ini tidak dinyatakan oleh REV Media.

Pengumuman ini juga hadir selepas REV Media menjual pegangan pada TechNave baru-baru ini, sebanyak 20%. TechNave telah dijual kepada iMedia pada nilai RM6.125 juta.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd