iMedia Mengambil-Alih Syarikat Sebalik Media Digital TechNave Pada Nilai RM6.125 Juta
Aman
iMedia Asia, anak syarikat milik penuh Catcha Digital kini mengumumkan pengambil-alihan penuh Maxoom Sdn Bhd, iaitu syarikat sebalik media digital memfokuskan teknologi, TechNave. Ini sekaligus memberikan pihak iMedia Asia sebuah portfolio untuk laman kandungan teknologi, sekaligus melengkapkan lagi penawaran variasi media dibawah mereka.

Nilai keseluruhan pengambil-alihan ini adalah RM6.125 juta, dimana RM1.8 juta akan dibayar pada tarikh penyelesaian, sementara RM4.325 juta pula akan dibayar selepas 12 bulan menggunakan dana dalaman.
TechNave beroperasi dalam bahasa Inggeris, Cina dan Melayu, dan mempunyai sekitar 2 juta capaian setiap bulan melalui media sosial, dan 1.5 juta tontonan video setiap bulan melalui YouTube dan TikTok.
Melalui data sebelum ini, pihak Rev Asia Holdings Sdn Bhd mempunyai 20% pegangan pada Maxoom. Dengan pengambil-alihan ini, pihak iMedia mengambil pegangan 100%, dan turut dilihat membawa pulangan kepada Rev Asia Holdings yang dimiliki Media Prima.
Berdasarkan data terakhir, Maxoom menjana sebanyak RM2.7 juta bagi tahun berakhir 31 Mac 2025, dengan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM30,423; selain sebelum ini mencatatkan pendapatan RM2.64 juta pada 2024 dengan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM70,160.