Khairulaming Berhasrat Menceburi MCN, Produk Ketiga Menjelang Ogos 2025

Sekitar setahun yang lepas, kami telah membuat temuramah ringkas bersama Khairulaming berkenaan dengan perkembangan dan pembangunan syarikat beliau. Pada masa yang sama, pada 2024 yang lepas, Khairulaming mencatatkan rekod tersendiri dengan mencatatkan jualan RM1 juta terpantas di TikTok Shop Malaysia, iaitu dalam masa hanya 3 minit 28 saat.

Baru-baru ini, kami berpeluang untuk bertanyakan beberapa perkembangan bersama Khairulaming, dan sasaran seterusnya dalam arena perniagaan.

Seperti semua sedia maklum, perjalanan Khairulaming adalah lebih kurang sama seperti pelbagai usahawan lain, dimana ada naik dan turunnya. Produk awal beliau, Sambal King pada tahun 2017 kurang berjaya, tetapi ia membawa kepada pembentukkan empayar makanan tersendiri melalui produk seperti Sambal Nyet dan juga Dendeng Nyet Berapi. Kurang berjaya pada peringkat awal membawa kepada penyusunan strategi yang lebih baik dalam pembangunan dan pelancaran produk baharu.

Semua pembangunan produk ini melalui pelbagai fasa berbeza, termasuk ia turut ditambah-baik dari masa ke semasa selepas dipasarkan – selepas mengambil kira input para pembeli dan pengguna. Kejayaan produk ini juga berjaya hasil pembangunan jenama “Khairulaming” sejak tahun 2018 dengan memberikan kandungan berguna kepada semua melalui platform media sosial.

Berkongsi berkenaan dengan pencapaiannya pada Mac 2025 lepas, Khairulaming mengatakan jualan produk dibawah jenama beliau pada tahun 2024 sahaja telah mencecah RM42 juta. Ini adalah peningkatan sekali ganda berbanding dengan tahun 2023 yang mencatatkan RM20 juta. Tahun 2025 pula menandakan tahun kelima beliau dalam dunia perniagaan produk pengguna, dan beliau optimis untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM60 juta, bersamaan lebih RM1 juta seminggu secara purata. Khairulaming turut mengatakan sekitar 70% jualan kini hadir daripada jualan secara siaran langsung.

Untuk tujuan berkenaan, sejumlah perkara disusun untuk dicapai sepanjang 2025 ini. Salah satunya yang telah dimulakan adalah akaun sosial Khairulaming yang kedua dalam menyampaikan kandungan-kandungan tidak berkait dengan makanan, selain turut dijangka akan berkongsi tips dan pengalaman dalam perniagaan. Ini juga membuka ruangan untuk Khairulaming meneroka pelbagai ruangan perniagaan baharu melangkaui hanya fokus terhadap makanan sahaja.

Berkongsi dengan kami juga, Khairulaming mengatakan beliau menyasarkan untuk menghasilkan kandungan memfokuskan masakan dan resepi secara eksklusif pada bulan Ramadan sahaja, dan akan meneroka pelbagai kategori kandungan berbeza bergerak kehadapan.

Tidak setakat itu, untuk produk dibawah jenama Khairulaming, beliau menyasarkan untuk mengeluarkan produk ketiga pada tahun ini. Pelancaran produk ketiga ini disasarkan pada suku ketiga tahun 2025 ini, dan Khairulaming berhasrat dapat melancarkannya sekitar Ogos 2025 ini. Produk yang bakal dilancarkan masih dirahsiakan buat masa ini, tetapi ia masih dibawah kategori makanan. Bagi menampung pengeluaran juga, kilang ketiga akan mula dioperasi dibawah Khairulaming, di Kelantan, Malaysia.

Selain itu, Khairulaming berkongsi akan turut meneroka untuk memasarkan produk-produk affiliate, dalam menjana pendapatan tambahan. Perkara ini mungkin tidak mengejutkan bagi ramai peminat dan pengikut Khairulaming, dimana beliau pernah melakukan beberapa kali jualan secara langsung dan mempromosikan produk-poroduk tempatan buatan Malaysia yang lain.

Khairulaming turut menyatakan beliau tidak menolak hasrat dalam menceburi MCN (Multi-Channel Network). Bagi yang tidak ketahui akan MCN, ia adalah perkhidmatan atau penyedia pihak ketiga yang bekerjasama dengan sejumlah saluran atau pempengaruh dalam mempromosi sesuatu, membuat jualan affiliate, dan sebagainya. Untuk tujuan ini juga, Khairulaming turut aktif dalam mempelajari ilmu-ilmu seperti jualan langsung menggunakan media sosial dari negara seperti China dan lain-lain.

Dengan perkembangan sihat ini, tidak mustahil kita melihat Khairulaming mencapai sasaran RM60 juta yang ditetapkan pada tahun ini. Khairulaming turut berhasrat dalam mengembangkan lagi dunia edagang digital di Malaysia dengan berkongsi ilmu bersama penerbit kandungan dan peniaga lain, sekaligus meningkatkan ekonomi setempat disamping menyokong satu sama lain.

0 Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.