Richiamo Coffee Kini Mempunyai 220 Cawangan, Sasar Memperluaskan Jenama Ke Luar Negara

Richiamo Coffee merupakan salah satu nama yang tidak asing dalam arena kafe. Diasaskan oleh Muhamad Zamry pada 2015, kini ia mempunyai sekitar 220 cawangan di seluruh negara, selain turut telah memperluaskan jenama mereka untuk penawaran barangan runcit dan serbaneka melalui Richiamo Mart, yang kini mempunyai sekitar 20 cawangan.

Segalanya bermula pada tahun 2015 yang lepas, apabila Muhamad Zamry menerima tawaran untuk membuka ruang niaga dalam Universiti Utara Malaysia. Pelbagai kajian dilaksanakan dalam memastika jenama mereka selari dengan pelajar dalam kampus, dan pada 2016, outlet pertama dibuka di UUM. Malah, tiga outlet pertama yang dibuka oleh Richiamo Coffee adalah dalam kampus universiti, sekaligus memudahkan penjenamaan, dan mempunyai pelanggan yang tersedia dalam kampus.

Selepas tiga outlet pertama, pihak Richiamo Coffee memilih untuk bereksperimen dengan outlet luar kampus, seperti di lot kedai, bangunan kerajaan, dan sebagainya. Pada 2023 yang lepas, Richiamo Coffee mencatatkan pendapatan sebanyak RM22.4 juta melalui segmen kafe mereka sahaja.

Kini dengan bilangan kafe lebih tinggi, malah turut menghasilkan sejumlah produk lain dibawah jenama Richiamo, angka berkenaan dijangka lebih tinggi lagi. Pihak Richiamo juga turut memilih untuk menghasilkan sejumlah produk secara dalaman dan juga melalui penggunaan dapur berpusat (central kitchen), dalam usaha mengurangkan kos dan aliran keluar wang.

Pada hari ini, Richiamo turut memposisikan kafe mereka sebagai pusat sehenti untuk makanan Malaysia, dimana selain minuman, mereka turut mempunyai penawaran makanan rasa tempatan, seperti ikan patin masak tempoyak, daging salai, daging kurma perlis, nasi lemak, dan pelbagai variasi makanan tempatan lain. Ini turut dipadankan dengan makanan ringan seperti pucuk ubi tempoyak, lemang ayam, keropok lekor dan murtabak raja.

Dalam memastikan para pelanggan kerap berulang ke kafe Richiamo, mereka turut bereksperimen dan memperkenalkan menu baharu sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, dan turut hadir dengan menu khas bersempena Ramadan dan Raya.

Bergerak ke hadapan, Richiamo Coffee turut menyasarkan untuk memperluaskan jenama mereka ke negara-negara luar dalam tempoh 5 ke 10 tahun akan datang. Untuk tujuan ini, mereka sedia memasarkan jenama Richiamo dalam pelbagai ekspo di luar negara. Malah, untuk tahun ini, Richiamo menyasarkan membuka outlet di Phnom Penh, Kemboja dan juga Melbourne, Australia. Selain untuk pasaran antarabangsa, Richiamo Coffee menyasarkan untuk membuka sehingga 350 outlet di Malaysia – namun latar masa untuknya tidak dikongsikan buat masa ini.

.

.

Gambar melalui Richiamo.
0 Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.

Nama
Emel