Kenanga Melakukan Pelaburan Strategik Pada Firma Pengurusan Dana Aset Digital, Halogen
Aman
Kenanga Investment Bank Berhad kini mengumumkan pelaburan strategik pada satu-satunya firma pengurusan dana aset digital di Malaysia, iaitu Halogen Capital Sdn Bhd. Halogen menerima suntikan dana berjumlah RM13.3 juta, yang bukan sahaja diterajui oleh Kenanga Investment, tetapi turut disertai bersama 500 Global.

Dengan pelaburan terbaru ini, Kenanga kini mempunyai pegangan sebanyak 14.9% pada syarikat Halogen Capital. Pelaburan ini dijangka akan memacu pembangunan dan pelaksanaan strategi tokenisasi aset dunia nyata. Halogen juga dijangka akan memperkenalkan lebih pilihan peluang pelaburan, sekaligus membuka peluang kepada orang ramai peluang-peluang pelaburan yang terhad kepada pelabur kaya dan nilai pelaburan tinggi sahaja sebelum ini.
Halogen sebelum ini telah diasaskan pada 2023 yang lepas, dan merupakan antara yang terawal di dunia menawarkan pelaburan dan pengurusan dana kriptowang patuh syariah. Setakat November 2025 yang lepas, Halogen menguruskan dana berjumlah sekitar RM400 juta.
Untuk Kenanga sendiri, pelaburan ini memperluaskan lagi ekosistem pelaburan melibatkan aset digital dibawah mereka. Selain Halogen, Kenanga turut ada melabur pada Merchantrade, KDX dan Helicap.