PNB Ingin Memacu Sekurangnya 10 Syarikat Bumiputera Bernilai Lebih RM500 Juta, Menjelang 2030
Aman
Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersama-sama beberapa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan kini menyasarkan untuk memacu sekurang-kurangnya 10 syarikat Bumiputera dengan nilai pasaran melangkaui RM500 juta. PNB menyasarkan mencapainya menjelang 2030 kelak.
Inisiatif ini dilaksanakan dibawah program dinamakan GEAR-uP. Sebanyak 170 syarikat telah melalui fasa pertama, dan kini 30 ke 40 syarikat akan dipilih untuk melalui penilaian seterusnya. Sebanyak 10 syarikat dijangka disenarai pendek menjelang suku pertama tahun hadapan, 2026.
Buat masa ini nama syarikat yang terlibat tidak dinyatakan. Pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan menyokong usaha ini, termasuk KWAP, KWSP, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Haji, dan juga LTAT. 10 syarikat yang terpilih kelak akan menerima sokongan dan bantuan dalam terus memperluaskan syarikat dan juga akses pasaran, pendanaan dan lain-lain.
Nilai RM500 juta ditetapkan untuk syarikat-syarikat ini, memandangkan ia adalah nilai kemasukkan ke pasaran utama di Bursa Malaysia.