Foodie Media Dinilaikan Sekitar RM266.4 Juta – Akan Disenaraikan Di Bursa Pada 28 November 2025
Aman
Foodie Media sebelum ini sedia menyatakan akan menyenaraikan syarikat mereka di Bursa Malaysia, dan kini mereka secara rasminya telah menerbitkan prospektus penuh, memperlihatkan syarikat Foodie Media Berhad akan dinilaikan sekitar RM266.4 juta. Foodie Media akan disenaraikan pada pasaran ACE pada 28 November 2025, dan menyasarkan untuk meraih sebanyak RM75 juta.
Foodie Media memfokuskan kepada penerbitan media digital, pemasaran pempengaruh, pemasaran drama pendek, dan juga pemasaran produk secara program sekutu dan pengurusan kempen. Ia beroperasi dengan bergantung kepada platform sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain. Pada hari ini, Foodie Media mempunyai sebanyak 37 jenama dibawah mereka, dan salah satu jenama yang popular adalah KL Foodie. Secara menyeluruh, mereka mempunyai 46 juta pengikut jikalau digabungkan rentas jenama.

Berdasarkan kepada prospektus, Foodie Media menjana pendapatan berjumlah RM31.274 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM8.983 juta. Pada tahun kewangan berakhir 2024 lepas, Foodie Media telah menjana pendapatan sebanyak RM23.95 juta dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM7.506 juta.
Dana yang dihimpunkan melalui penyenaraian ini akan digunakan untuk sejumlah perkara, termasuk untuk pengambilan pekerja, pembelian dan ubah-suai bangunan untuk tujuan penstriman jualan langsung, pembelian peralatan untuk operasi, langganan perisian yang diintegrasikan dengan sokongan kecerdasan buatan, dan juga dana untuk operasi yang lain.