Xendit Ambil-Alih Platform Pembayaran Payex, Membentuk Xendit Malaysia

October 10, 2025
Lain-Lain

Aman

Xendit merupakan salah satu syarikat teknologi kewangan yang beroperasi dibeberapa buah negara sekitar Asia Tenggara, menawarkan kemudahan untuk perniagaan dalam mengintegrasikan platform pembayaran, menguruskan pembayaran, serta perkara lain melibatkan pengurusan kewangan syarikat.

Pada tahun 2023 yang lepas, Xendit telah melakukan pelaburan pada Payex, iaitu salah satu platform pembayaran tempatan yang berlesen dibawah Bank Negara Malaysia. Pelaburan ini sekaligus membolehkan Xendit memasuki pasaran tempatan, dan menawarkan produk mereka kepada perusahaan dan syarikat tempatan.

Kini, selang dua tahun, Xendit mengumumkan pengambil-alihan penuh Payex, dan integrasi platform. Xendit mengatakan mereka kini mempunyai lebih 4500 perniagaan di Malaysia yang menggunakan platform mereka, dan telah memproses lebih RM5 bilion setakat ini.

Xendit menawarkan kemudahan untuk perniagaan menerima pembayaran melalui pelbagai medium, termasuk dompet digital, kad kredit dan perbankan atas-talian. Disamping itu, platform berkenaan turut menyokong pembayaran rentas sempadan, memudahkan perniagaan Malaysia menerima pembayaran di Indonesia, dan Filipina.

Selari pengambil-alihan dan integrasi penuh ini juga, kini Xendit telah mulakan bab baru di Malaysia, dan kini dikenali sebagai Xendit Malaysia. Mereka turut menyatakan merancang memperkenalkan lebih banyak perkara baharu dalam membantu perniagaan tempatan dalam menerima dan menguruskan kewangan serta pembayaran.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd