Krenovator kini mengumumkan mereka telah menerima suntikan dana baharu daripada Ignite Asia. Jumlah suntikan dana berkenaan tidak dinyatakan kepada umum buat masa ini.

Krenovator memfokuskan kepada pembangunan platform carian pekerja dan pembangun, terutamanya melibatkan sektor logistik, pengeluaran, kewangan, perbankan, telekomunikasi dan juga O&G. Buat masa ini, selain Malaysia, platform Krenovator turut digunakan oleh pengguna dari Eropah dan Timur Tengah.
Untuk makluman, Krenovator telah diasaskan pada 2019 yang lepas dan berpusat di Kuala Lumpur. Pada hari ini, ia mempunyai rangkaian melibatkan hampir 30,000 profesional di Malaysia dan Indonesia yang dihubungkan melalui platform mereka. Menggunakan platform Krenovator, ia akan boleh mengenal-pasti dan menghubungkan dengan calon yang sesuai untuk sesuatu projek yang diperlukan oleh klien atau syarikat.
Bergerak kehadapan, Krenovator mengatakan mereka menyasarkan untuk menggandakan pendapatan dan juga senarai klien dalam tempoh 12 ke 18 bulan akan datang. Disamping itu, mereka juga sedang melihat untuk memperkembangkan lagi penawaran meliputi perkhidmatan IT yang lain.