Bateriku Bakal Disenaraikan Di Bursa Malaysia Seawal 2026

November 3, 2025
Lain-Lain

Aman

Bateriku merupakan salah satu syarikat tempatan yang bermula dengan fokus terhadap penawaran khidmat gantian bateri pada kenderaan. Ia seterusnya diperluaskan untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan baik-pulih melibatkan kenderaan, termasuk untuk gantian tayar, isian minyak, dan lain-lain. Bateriku juga turut menghasilkan bateri berjenama mereka tersendiri.

Mengikut laman rasmi Bateriku, kini mereka mempunyai 238 cawangan di seluruh Malaysia, dan seramai 3,327 pembantu yang boleh menawarkan terus perkhidmatan kepada pengguna di tepi jalan.

Terbaru, Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkongsi menyatakan Bateriku akan tersenarai di Bursa Malaysia seawal 2026 kelak. Langkah ini adalah selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035. Buat masa ini, nilai penyenaraian dan sebagainya belum dikongsikan lagi.

Kali terakhir Bateriku mengumumkan suntikan dana pelaburan adalah pada September 2024 lepas, dimana mereka meraih suntikan dana berjumlah RM34.7 juta daripada beberapa pihak, termasuk KWAP.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd