Labubu Disasar Menjadi Perniagaan Bernilai $1 Bilion Pada Tahun Ini

Pop Mart, syarikat sebalik Labubu kini telah pun mengeluarkan penyata kewangan suku tahunan terbaru, memperlihatkan pendapatan mereka meningkat mendadak, dan telah menjana lebih RM8 bilion setakat enam bulan pertama 2025 ini.

Pop Mart mempunyai sejumlah siri penawaran produk patung dan variasi IP dibawah mereka. Salah satu yang sangat popular di seluruh dunia adalah siri Pop Mart Monsters, yang menyertakan Labubu. Jualan perniagaan melibatkan Monsters sahaja dijangka akan melangkaui $1 bilion pada tahun ini (~RM4 bilion).

Pop Mart sebelum ini telah diasaskan pada tahun 2010, dan mempunyai sejumlah siri penawaran dibawah mereka. Salah satu yang menjadi popular adalah Labubu. Ia pertama kalinya hadir melalui buku ilustrasi dinamakan “The Monsters” pada 2015, karya Kasing Lung. Siri ini telah diperkenalkan bersama  Pop Mart pada 2019, dan ia mula menjadi popular di China selepas pandemik Covid-19. Ramai artis global turut mendapatkan siri ini, dan dilihat bersama anak patung berkenaan. Tidak setakat itu, terdapat pelbagai pihak yang mengambil kesempatan dan menjual versi cetak rompak untuk patung ini.

Selain Pop Mart Monsters, mereka turut mempunyai sejumlah siri lain, termasuk MOLLY, SKULLPANDA, CRYBABY dan juga DIMOO. Pihak Pop Mart sendiri dijangka akan memperluaskan lagi penggunaan IP melibatkan Labubu dengan pengenalan aksesori mini yang boleh diguna bersama telefon pintar dalam masa terdekat ini.

Perkembangan Pop Mart juga secara tidak langsung memberikan kesan kepada pengeluar permainan lain. Kini, nilai syarikat Pop Mart dianggar bernilai lebih tinggi berbanding Hasbro dan Mattel. Beberapa syarikat dan siri permainan juga dilihat mengalami penurunan, tetapi sebaliknya kepada Pop Mart yang dilihat berjaya dengan penawaran produk dan IP mereka, selain penawaran dalam konsep kotak tikam. Sebagai perbandingan kasar, sementara siri Pop Mart Monsters terjual $670 juta pada enam bulan pertama 2025 ini, siri Barbie pula hanya terjual sebanyak $374 juta sahaja.

0 Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.

Nama
Emel