Sejak tahun 2022, salah satu letusan penggunaan yang mengejut hadir diseluruh dunia adalah penggunaan kecerdasan buatan janaan. Dipopularkan melalui ChatGPT oleh OpenAI, pada hari ini terdapat sejumlah besar penawaran berbeza kepada pengguna, termasuk Perplexity, Google Gemini, Microsoft CoPilot, Meta AI dan sebagainya.
Pada awalnya, pelbagai syarikat bersaing satu sama lain dalam membolehkan penggunaan bot dikuasakan AI dalam menjawab berkenaan sesuatu pertanyaan. Namun, dari hari ke hari, sejumlah ciri ditambah. Selain menjana gambar, kini bot berasaskan kecerdasan buatan ini turut boleh melakukan carian web, dan merumuskan carian untuk pengguna.
Perkara ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada penggunaan enjin carian seperti Google – sekaligus menekan Google untuk turut membangunkan Gemini supaya lebih digunakan berbanding ChatGPT.
Mengikut angka rasmi yang dikongsikan pada April lepas, Google mempunyai sekitar 350 juta pengguna aktif bulanan untuk Google Gemini, sementara ChatGPT pula menghampiri 1 bilion pengguna aktif bulanan dan mempunyai 160 juta pengguna aktif harian.
Tidak setakat carian web biasa, kini syarikat-syarikat kecerdasan buatan ini juga telah mula berlumba dalam mengintegrasikan sokongan carian produk, dan melakukan pembelian terus melaluinya.

ChatGPT sedia menyertakan saranan produk apabila anda bertanyakan sesuatu perkara berkaitan, dan turut menyokong membawa pengguna terus ke halaman carian. Tidak setakat itu, kini Perplexity pula bekerjasama dengan PayPal yang akan membolehkan pengguna pautkan akaun PayPal, dan seterusnya AI akan bantu dalam melakukan pembelian atas carian seperti produk, tempahan penerbangan, pembelian tiket, dan sebagainya.
Pelaksanaan ini disasarkan kepada pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu, tetapi tidak mustahil ia diperluaskan ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat – selari perkembangan arena kecerdasan buatan yang sangat pantas.
Untuk makluman juga, pihak YTL dan syarikat induk Shopee sedang dalam proses membangunkan perkhidmatan perbankan berasaskan kepada perbualan chat dinamakan Ryt Bank. Mengikut demo ringkas yang diperlihatkan, pengguna boleh input maklumat dalam bentuk teks, dan aplikasi perbankan berkenaan akan mengenal-pasti dalam melakukan sesuatu transaksi.

Perkembangan ini juga secara tidak langsung akan membawa kepada pengguna baharu yang lebih menyukai kaedah interaksi seperti ini, dan melaksanakan semuanya menggunakan satu aplikasi sahaja. Apatah lagi dengan para pengguna muda yang mula menggunakan perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan ini dengan lebih aktif berbanding perkhidmatan lain, dan merujuknya dengan lebih kerap. Mungkin disebabkan ini juga semua syarikat bersaing antara satu sama lain dalam membangunkan penawaran berasaskan kecerdasan buatan terbaik, dan memastikan pengguna setia serta terikat dalam menggunakan aplikasi masing-masing.