Arus Oil – Menjaga Kelesetarian Alam Melalui Jual-Beli Minyak Masak Terpakai

Pelbagai pihak kini memfokuskan kepada pembangunan syarikat mesra alam, selain turut menekankan kriteria kelestarian alam. Ini sekaligus membawa kepada pembentukkan sejumlah syarikat baharu memfokuskan dalam arena berkenaan. Salah satu syarikat yang sedang meningkat naik kebelakangan ini adalah Arus Oil.

Arus Oil telah diasaskan oleh Syazwan Majid pada tahun 2017 sebagai projek kitar-semula kejiranan, memfokuskan kepada pengumpulan dan mengitar semula minyak masak terpakai. Seperti ramai sedia maklum, pengurusan minyak masa terpakai masih tidak begitu baik di seluruh dunia. Ada yang memilih untuk membuang atau tuang minyak masak terpakai terus ke sinki, dan ada juga yang isi dalam botol dan membuangnya di tong sampah.

Untuk mengatasi pelbagai pengurusan yang kurang baik ini, Arus Oil hadir dengan konsep mengumpulkan minyak masak terpakai daripada para pengguna, dan pada masa yang sama memberikan mereka ganjaran untuknya dari segi wang ringgit.

Minyak masak terpakai ini seterusnya akan diubah kepada bentuk biodiesel dan juga penggunaan tenaga mampan. Secara kasar, Syazwan berkongsi mengatakan pasaran dunia untuk industri kitar semula minyak masak terpakai ini adalah sekitar $6 bilion, dan Malaysia dianggarkan mempunyai pegangan pasaran sekitar 5% dalam arena ini. Pasaran ini juga turut berkembang pesat dari hari ke hari, dan nilainya dijangka akan terus meningkat.

Arus Oil sebelum ini telah bekerjasama dengan beberapa pihak dalam membuka  reruai sementara dalam mengumpulkan minyak masak terpakai. Selain itu, Arus Oil turut menyediakan aplikasi khusus yang membolehkan pengguna membuat permohonan untuk pihak mereka hadir kutip minyak masak. Selain pengguna persendirian, Arus Oil juga turut bekerjasama dengan kedai-kedai dalam mengumpulkan minyak masak terpakai.

Melalui laman web rasmi Arus Oil, mereka turut menyediakan rujukan pusat-pusat pengumpulan berhampiran, dan mengambil minyak masak terpakai pada harga sekitar RM2.50/kg ke RM3.00/kg. Beberapa bulan yang lepas juga, Arus Oil telah bekerjasama dengan pihak Touch n Go eWallet, dan mengintegrasikan ciri untuk kitar semula minyak masak terus pada dompet digital berkenaan, dan menerima ganjaran kitar semula terus ke dompet digital TNG. Disamping itu, baru-baru ini mereka turut telah umum kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk projek kelestarian alam.

Bergerak kehadapan, Arus Oil berhasrat untuk memperluaskan kemudahan kepada pengguna dalam mengambil minyak masak terpakai, dan mengitarnya semula. Disamping memastikan kelestarian alam, ia juga membolehkan pengguna mengitar semula dan menerima ganjaran untuknya.

0 Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.

Nama
Emel