Eco-Shop kini merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi dalam kalangan pengguna tempatan. Ia terkenal dengan penawaran barangan pada harga rendah, dibawah kategori “dollar-store”. Untuk tahun ini, Eco-Shop menyasarkan untuk melakukan penyenaraian syarikat mereka di Bursa Malaysia.
Eco-Shop pada awalnya telah diasaskan pada 2003, dimana kedai RM2 pertama dibawah mereka telah dibuka di Gemas, Negeri Sembilan. Ia diasaskan oleh Dato’ Sri Lee Kar Whatt, Pang Kueh Khim dan Lee Tiong Bin. Namun, pada 2005, Lee Tiong Bin, iaitu adik DSLKW telah menarik diri daripada operasi perniagaan tersebut.

Pada 2006, Eco-Shop Marketing Sdn Bhd telah didaftarkan, dan seterusnya pada 2019 pihak AMSB, sebuah syarikat yang diuruskan dibawah Creador telah mendapatkan pegangan sebanyak 10% pada Eco-Shop. Untuk makluman, Creador juga turut mempunyai pegangan pada sejumlah syarikat lain, termasuk Mr DIY, Tealive, CTOS dan Big Pharmacy.
Dimulakan dengan penawaran barangan pada harga RM2 di kedai berkenaan, Eco-Shop kini telah meningkatkan sedikit harga jualan barangan mereka selari peredaran masa. Pada hari ini, Eco-Shop menyenaraikan harga barangan mereka pada nilai RM2.60 di Semenanjung Malaysia, dan RM2.80 di Sabah serta Sarawak.
Selain Eco-Shop, mereka turut mempunyai Eco-Plus yang menawarkan barangan pada nilai jualan berbeza padanya. Untuk makluman, sebelum ini Eco-Shop turut pernah cuba dalam arean makanan, iaitu roti dibawah jenama Eco-Bakery. Namun, pada 2023 yang lepas, mereka telah melupuskan pegangan pada syarikat tersebut, dan ia telah diambil-alih dan kini beroperasi dibawah jenama Poin Bakery. Eco-Shop kini mempunyai 358 cawangan di seluruh Malaysia, selain 22 cawangan Eco-Plus. Mereka turut menyasarkan membuka sekitar 70 cawangan baharu setiap tahun untuk 5 tahun akan datang.
Dalam memastikan barangan penawaran mereka kekal kompetitif pada harganya, Eco-Shop turut menghasilkan barangan berjenama mereka sendiri, rentas pelbagai kategori. Barangan dibawah mereka adalah termasuk Kreati memfokuskan alat-tulis, Wak Limah untuk masakan, Casa untuk barangan plastik, Verona untuk penjagaan diri, dan banyak lagi. Secara kasar, Eco-Shop mempunyai sekitar 13,000 SKU dibawah penawaran mereka pada hari ini.

Penawaran barangan juga memainkan peranan penting dalam memastikan para pelanggan terus sentiasa hadir dan membeli di kedai-kedai mereka. Eco-Shop menambah sekitar 300 produk baru setiap bulan selari dengan peralihan trend, dan pada masa yang sama rekaan kedai yang rawak turut membuatkan pelanggan akan berjalan keliling kedai dalam mencari dan menambah produk-produk pada pembelian mereka.
Mengikut penganalisa, Eco-Shop kini mempunyai pegangan pasaran sekitar 67.8% dalam arena “dollar-store”, dengan kadar jualan setiap kaki persegi sekitar RM916 berbanding purata industri sekitar RM563 setiap kaki persegi. 86% kedai Eco-Shop juga terletak di lot kedai biasa, dan sekitar 12% dalam pasaraya.

Menariknya juga, Eco-Shop mempunyai lebih 1.8 juta ahli berdaftar untuk program ganjaran mereka, salah satu kumpulan sasaran pembeli yang dilihat berbelanja lebih tinggi berbanding bukan ahli. Secara purata, ahli Eco-Shop Loyalty berbelanja sekitar RM37.37 pada pembelian, berbanding bukan ahli yang sekitar RM20.72. Eco-Shop juga turut mempunyai aplikasi khusus untuk ahli mereka dalam melihat dan turut menebus ganjaran.
Bergerak ke hadapan, Eco-Shop dijangka akan terus melakukan pelaburan dalam arena logistik dan pengedaran barangan, selain turut menambah-baik operasi melalui integrasi serta pelaburan pada teknologi. Ia masih tidak diketahui lagi sama ada Eco-Shop turut akan memperluaskan jenama mereka ke negara berhampiran lain seperti Mr. DIY atau beberapa jenama dibawah Creador lain.