Anguilla merupakan salah sebuah Wilayah Luar Negeri British di Kepulauan Caribbean. Ia bersaiz kira-kira 91 kilometer persegi dan mempunyai lebih 15,000 orang penduduk di kepulauan berkenaan. Aktiviti ekonomi utama Anguilla ialah berasaskan pelancongan dan juga industri luar persisir seperti untuk perbankan dan pengurusan syarikat.
Apa yang menariknya, dengan peningkatan dalam arena kecerdasan buatan, Anguilla menerima impak positif. Hal ini kerana negara kecil berkenaan menguruskan nama domain dengan akhiran .ai. Sejak daripada tahun 2022, pendaftaran nama domain dengan akhiran .ai bertambah berkali ganda dari tahun ke tahun.
Pada tahun 2023 sahaja, ia menjana $32 juta, dan pada 2024, pendapatan melalui jualan nama domain mencapai $38 juta. Pendapatan ini sahaja memperlihatkan hampor 23% pendapatan negara berkenaan kini adalah daripada penjualan nama domain.
Untuk tahun 2025 ini, ia dijangka meningkat kepada 25%, sekaligus menjadikan pendapatan daripada jualan nama domain menjadi 1/4 daripada pendapatan negara berkenaan.