Pinn Yang Menyasarkan Penyenaraian Syarikat Sebalik KL Foodie Di Bursa Malaysia

June 24, 2025
Lain-Lain

Aman

Bercakap berkenaan kandungan berkaitan makanan, salah satu saluran yang mungkin menjadi sebutan ramai adalah KL Foodie. Ia diterajui oleh pinn Yang yang juga merupakan salah seorang ikon media sosial tempatan, selain mempunyai pelbagai jenama “Foodie” lain dibawahnya. Terbaru, syarikat sebaliknya, Foodie Media Berhad menyasarkan untuk penyenaraian awam di Bursa Malaysia melalui Ace Market.

Pada hari ini, Foodie Media Berhad mempunyai sebanyak 34 jenama dibawah mereka, dengan pendapatan utama dijana melalui pengiklanan, penerbitan digital, pemasaran pempengaruh, sekutu niaga, dan juga perkhidmatan pengurusan kempen pemasaran. Melalui prospektus yang diterbitkan, Foodie mengatakan mereka mempunyai sekitar 44.2 juta pengikut (digabungkan) di media sosial. Walaupun pengikut dimedia sosial adalah agak tinggi berbanding jenama lain, namun pengunjung ke blog adalah masih rendah, dimana sejumlah 1.1 juta pengunjung telah dicatatkan sejak 1 September 2024 sehingga 30 April 2025.

Melalui dana yang dikumpulkan kelak melalui penyenaraian awam ini, Foodie menyasarkan untuk menambah 5 lagi jenama dalam tempoh 12 bulan selepas penyenaraian, dengan fokus terhadap kecantikan, kesihatan, barangan mewah, dan juga fesyen. Tidak setakat itu, Foodie turut ingin meningkatkan lagi tenaga kerja termasuk dari segi pempengaruh dan juga hos langsung, selain turut melabur pada penyelesaian perisian dengan sokongan kecerdasan buatan dalam menambah-baik kecekapan operasi.

Disamping itu, dana juga akan digunakan untuk mendapatkan premis baharu dalam memfokuskan kepada dagangan langsung (live commerce). Pada masa yang sama, Foodie turut sedang melihat kepada penerbitan drama pendek, dan sedang mencari penaja untuknya.

Prospektus yang diterbitkan turut memperlihatkan beberapa risiko yang ditanggung syarikat berkenaan, termasuk kebergantungan kepada platform media sosial pihak ketiga yang boleh mengubah algoritma atau sebarang perkara pada bila-bila masa.

Mengikut tahun kewangan berakhir Ogos 2024 lepas, Foodie telah menjana pendapatan sebanyak RM23.95 juta, dengan keuntungan bersih RM7.45 juta.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd