Selama ini, Amanz sedia dikenali sebagai salah satu portal yang memfokuskan kepada informasi teknologi – melaporkan pelbagai inovasi, perkembangan semasa, dan kisah di sebalik dunia digital. Namun, dalam perjalanan kami selama ini, kami menyedari satu kekosongan yang perlu diisi: keperluan terhadap sebuah platform khusus yang memfokuskan dunia perniagaan dan keusahawanan – meliputi pelbagai jenis perniagaan secara menyeluruh, dan bukan hanya yang berasaskan teknologi atau digital sahaja.

Kenapa AmanzBiz?
AmanzBiz diwujudkan sebagai usaha untuk mendokumentasikan, mengumpul dan menyebarkan pelbagai maklumat serta kisah dari arena perniagaan dan keusahawanan. Portal ini bukan sekadar rujukan, malah turut menjadi pusat sehenti untuk inspirasi dan pengetahuan melibatkan pelbagai kategori perniagaan dan usahawan, tidak terhad kepada teknologi semata-mata.
Fokus utama AmanzBiz adalah untuk mengetengahkan usahawan dan perniagaan yang berpusat di Malaysia. Pemisahan portal ini daripada laman utama Amanz membolehkan kami mengekalkan pengalaman pembacaan yang tersusun — di mana Amanz kekal memfokuskan kepada teknologi, inovasi, sains dan gajet, manakala AmanzBiz khusus untuk dunia niaga dan usahawan.
Selain menjadi rujukan, kami berharap AmanzBiz dapat menjadi sumber inspirasi, khususnya buat anak muda yang ingin membangunkan dan mengembangkan idea serta perniagaan mereka sendiri.
Kami juga merancang untuk menerbitkan temuramah eksklusif dan liputan khas melibatkan pelbagai jenama tempatan yang kurang mendapat perhatian. Pengenalan AmanzBiz ini turut selari dengan pertumbuhan positif jenama-jenama lokal dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Apa Seterusnya?
Seperti Amanz, kami berharap AmanzBiz dapat berkembang secara positif dengan memberi liputan kepada pelbagai jenama, produk, syarikat dan usahawan tempatan. Kami turut merancang untuk menganjurkan sesi pertemuan dan acara berskala kecil bersama komuniti usahawan — seumpama acara AmanzNXT yang pernah dianjurkan sebelum ini.
Segala perkembangan dan kandungan baharu dari AmanzBiz akan dikongsikan melalui portal ini. Nantikan pelbagai cerita, pandangan dan inspirasi dari dunia keusahawanan tempatan. Anda turut boleh ikuti perkongsian sosial AmanzBiz di Facebook, Daun dan X.
[…] Dalam tulisan pengenalan AmanzBiz pada 6 Mei lalu, ia menyatakan fokus utama portal ini adalah untuk “…mengetengahkan usahawan dan perniagaan yang berpusat di Malaysia.” Baca artikel di sini. […]